Islamic Widget

Sunday, July 24, 2011

RAMADHAN AL-KARIM


Bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan Islam yang disebut di dalam Al-Quran. Bulan-bulan lain tidak pernah disebut dalam Islam. Bulan Ramadhan adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan, malahan kitab Samawi yang lain seperti kitab Injil, Taurat dan Zabur juga turun pada bulan Ramadhan.

Berlaku perselisihan pendapat ulama tentang penurunan Al-Quran di bulan Ramadhan namun kata ustaz, biarlah ulama berdebat, kita terima sahaja kerana mereka lebih tahu. Terdapat dua pendapat berkaitan hal ini :-

* Maksud Al-Quran turun pada bulan Ramadhan adalah Al-Quran dibawa oleh Jibrail di dalam bentuk wahyu untuk diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.
* Maksud Al-Quran turun pada bulan Ramadhan adalah Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz kepada langit dunia pada bulan Ramadhan.

Di dalam ayat Al-Quran di mana Allah berfirman bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, Allah menyambung bahawa Al-Quran adalah sebagai petunjuk. Ini bermakna jika ada permasalahan, maka rujuklah Al-Quran kerana disitu ada penyelesaian. Kes-kes gejala sosial (atau musibah sosial) berlaku kerana tindakan susulan tidak mengikut Al-Quran.

Menurut ustaz, Al-Quran itu datang dengan tiga jenis petunjuk.

* Petunjuk Umum – Petunjuk ini difahami oleh semua makhluk termasuklah haiwan, tumbuhan, dan apa juga makhluk ciptaan Allah.
* Petunjuk Kebaikan – Petunjuk ini ditunjukkan kepada golongan bukan Islam untuk menunjukkan kebaikan dan keindahan Islam agar mereka tertarik memasuki Islam.
* Petunjuk Hidayah – Petunjuk ini hanya dapat dirasai dan dilihat oleh orang-orang yang beriman sewaktu mereka membaca Al-Quran dan memahami isi maksudnya secara rohaniah.

Sebelum ini, orang arab tidak mempunyai bulan-bulan. Mereka meletakkan sesuatu berdasarkan suatu peristiwa. Apabila Abrahah menyerang Mekah, mereka meletakkan waktu itu sebagai waktu asal bagi Tahun Gajah. Kemudian, ketika Rasulullah s.a.w lahir mereka mengubah sistem tahun kepada “Tahun Kenabian”. Bulan-bulan Islam telah wujud sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w lagi cuma orang arab tidak mengetahui mengenainya.

Pada bulan Ramadhan, syaitan-syaitan diikat. Isu syaitan diikat ini pun ada beberapa perselisihan pendapat ulama. Seperti kata ustaz, biarkan saja ulama berdebat, kita terima sahaja. Terdapat dua pendapat tentang syaitan diikat.

* Syaitan diikat secara fizikal. Ini bermakna syaitan dibelenggu dan memang tidak dapat berkeliaran.
* Syaitan dilemahkan, dan perkataan ikat itu sebagai sindiran kepada syaitan di mana syaitan terhalang dari mengganggu orang yang beriman.

Berkaitan pendapat pertama, ada pertanyaan jika syaitan diikat secara fizikal, mengapa orang masih berbuat jahat? Menurut ustaz, perkara ini pernah ditanya (berulang kali) dan jawapan paling baik ialah roti canai (roti canai lagi…macam contoh ceramah sebelum ini). Kata ustaz, hati itu ibarat tempat pembakar roti canai dan syaitan itu api. Setelah lama memanaskan pembakar roti itu, meskipun api sudah dipadamkan namun tempat pembakar roti canai itu masih panas. Sama juga halnya dalam keadaan ini. Setelah 11 bulan syaitan membakar hati, 1 bulan masih terasa panasnya meskipun syaitan dibelenggu.

Bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan besar-besaran. Allah mengampuni semua dosa umatnya yang memohon ampun secara ikhlas kepada Allah kecuali dosa yang berkaitan dengan manusia.

Bulan Ramadhan juga adanya solat Tarawikh. Solat Tarawikh adalah khusus kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana umat terdahulu tidak diberikan kelebihan solat Tarawikh. Solat Tarawikh tidak mempunyai had berapa rakaat yang boleh dilakukan maka tidak perlu diperdebatkan. Rasulullah s.a.w buat 8 rakaat namun disambung dengan solat sunat di rumah.

Di bulan Ramadhan, amalan dilipat gandakan. Pada bulan Ramadhan, pahala amalan bagi perkara sunat ialah pahala sunat+pahala wajib. Manakala pahala amalan bagi perkara wajib ialah 70 kali ganda dari bulan-bulan yang lain. Namun begitu, pahala amalan di Masjidil Haram dan sekitarnya ialah 100,000 kali ganda. Masjidil Haram dan sekitarnya adalah satu-satunya tempat di mana umat Islam dapat bersolat tanpa had. Selepas Asar pun boleh solat sunat, tidak seperti tempat lain di mana ia diharamkan.

Berpuasa 6 hari selepas bulan Ramadhan di bulan Syawal akan mendapat pahala seperti berpuasa selama setahun.